Friday 14 October 2011

AIDIL ADHA & IBADAH QURBAN DI SK TERASI

Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah tuhan sekelian alam. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W kaum keluarga baginda, para sahabat, tabi’ tabi’in serta para pengikut baginda.

Pertama-tamanya syukur alhamdulillah, berkat limpahan berkat dan rahmat Allah juga, maka Warga SK Terasi dapat menganjurkan Program Qurban sempena Aidiladha pada tahun ini. Pada dasarnya, Aidiladha yang dirayakan pada 10 Zulhijah setiap tahun adalah lambang kepatuhan seorang hamba kepada khaliqnya iaitu peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Ismail a.s dalam mentaati perintah Allah.  Ia juga merupakan simbol perpaduan ummah apabila setiap tahun umat Islam berhimpun di Makkatul Mukarramah untuk menunaikan ibadat haji. Sambutan hari raya ini yang diraikan oleh umat Islam di seluruh dunia mempunyai falsafahnya tersendiri. Hari raya adalah kurniaan Allah kepada orang Islam Ansar menggantikan amalan perayaan jahiliah sebelum kedatangan Islam di Madinah. Diriwayatkan Imam Abu Daud dan An-Nasai daripada Anas dalam sebuah hadis yang kira-kira bermaksud: "Sesungguhnya Allah menggantikan untuk kamu yang lebih baik daripada keduanya iaitu Aidiladha dan Aidilfitri." Disamping itu, Ibn Taimiyah juga menyebut perayaan ini adalah suatu 'syariat' seperti ditegaskan dalam firman Allah  :

 "Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan agama atau ibadat (yang wajib diikuti oleh masing-masing)." (Surah Al Maidah, ayat 48)

Oleh itu, perayaan yang diraikan umat Islam bukan semata-mata aktiviti sosial tetapi adalah satu ibadat yang dituntut dalam agama. Kafiat ataupun garis panduan dalam merayakan Aidilfitri dan Aidiladha terdapat persamaan dan perbezaan. Jikalau pada Aidilfitri kita dilarang berpuasa pada hari raya pertama maka pada sambutan Aidiladha kita dilarang berpuasa selama empat hari iaitu daripada 10 Zulhijjah hingga 13 Zulhijjah. Amalan bertakbir pula hanya sehari di Aidilfitri tetapi dituntut bertakbir selama empat hari berturut-turut di Aidiladha. Disunatkan mengerjakan solat sunat hari raya, diwajibkan membayar zakat fitrah pada Aidilfitri tetapi disunatkan melakukan ibadat korban sebagai tanda ketakwaan dan keimanan terhadap Allah selepas solat sunat Aidiladha. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah pada hari Aidiladha melainkan ibadat korban. Sesungguhnya binatang yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya. Sesungguhnya ibadat korban ini diredhai Allah sebelum darah binatang itu jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan reda akan ibadat korban yang kamu lakukan."
(Hadis riwayat At-Tirmizi)

Berhubung dengan maksud hadis yang diseutkan diatas dapat difahami bahawa apa yang dituntut daripada ibadat korban ialah keredaan dan lapang dada kita untuk melakukan ibadat itu, bukan terpaksa, terikut-ikut atau untuk menunjuk-nunjuk. Manakala  yang akan sampai kepada Allah bukan daging, atau binatang korban tetapi ketakwaan yang mendorong kita melakukan ibadat korban.
Allah SWT berfirman
    
Maksudnya : “ Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.”
( Surah al Haj ayat 37 )

Perlu kita sedari sebenarnya ibadat korban mencerminkan dua perkara. Pertama, ia adalah wasilah atau perantaraan bagi mengeratkan hubungan sesama anggota keluarga dan masyarakat. Kedua, ibadat korban mencerminkan sifat keihsanan yang sangat dianjurkan Islam. Oleh itu marilah kita sama-sama menghayati makna ibadah qurban yang sebenarnya menurut kaca mata Islam.

PENGERTIAN QURBAN
Dari segi bahasa, qurban bermaksud sesuatu yang dikorbankan kerana Allah subhanahu wata‘ala.
Dari sudut syara‘, qurban bermaksud menyembelih binatang yang tertentu pada masa-masa yang tertentu dengan niat mendekatkan diri kepada Allah subhanahu wata‘ala.

PENSYARI‘ATAN DAN HIKMAHNYA
Qurban telah disyari‘atkan pada tahun kedua hijrah sama seperti ibadah zakat dan sembahyang Hari Raya.Firman Allah subhanahu wata‘ala:
Maksudnya:“Maka kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu dan sembelihlah qurban (sebagai tanda syukur)”                                                                                          (Surah Al-Kauthar 108:2)

Hikmah disyari‘atkan qurban ialah sebagai tanda bersyukur kepada Allah subhanahu wata‘ala di atas segala nikmatNya yang berbagai dan juga di atas kekalnya manusia dari tahun ke tahun. Ia juga bertujuan menjadi kifarah bagi pelakunya, sama ada disebabkan kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan ataupun dengan sebab kecuaiannya dalam menunaikan kewajipan di samping memberikan kelegaan kepada keluarga orang yang berqurban dan juga mereka yang lain.
Qurban tidak memadai dengan menghulurkan nilai harganya, berbeza dengan ibadah zakat fitrah yang bermaksud memenuhi keperluan golongan fakir, Imam Ahmad dikatakan menyebut amalan menyembelih qurban adalah lebih afdhal daripada bersedekah dengan nilai harganya.

HUKUM MELAKUKAN QURBAN
 Hukum melakukan qurban ialah sunnah mu’akkadah bagi sesiapa yang mampu melakukannya.
Sabda Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam yang bermaksud:  “Aku diperintahkan agar menyembelih qurban dan ia sunat bagi kamu”        (Riwayat AtTirmizi)

Dalam hal ini para ulama terbahagi dalam dua pendapat: Pertama: Wajib bagi orang yang berkemampuan. Ulama yang berpendapat demikian adalah Rabi’ah (guru Imam Malik), Al Auza’i, Abu Hanifah, Imam Ahmad dalam salah satu pendapatnya, Laits bin Sa’ad berserta beberapa ulama pengikut Imam Malik, Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah, dan Syeikh Ibnu ‘Utsaimin rahimahumullah. Syeikh Ibn Utsaimin mengatakan: “Pendapat yang menyatakan wajib itu nampak lebih kuat daripada pendapat yang menyatakan tidak wajib. Akan tetapi hal itu hanya diwajibkan bagi yang mampu…” (lih. Syarhul Mumti’, III/408) Di antara dalilnya adalah hadith Abu Hurairah r.a yang menyatakan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Barangsiapa yang berkemampuan (harta) namun tidak mahu berqurban maka jangan sekali-kali mendekati tempat solat kami.” (HR. Ibnu Majah 3123, Al Hakim 7672 dan dihasankan oleh Syeikh Al Albani)
Pendapat kedua menyatakan Sunnah Mu’akkadah (ditekankan). Dan ini adalah pendapat majoriti ulama iaitu Malik, Syafi’i, Ahmad, Ibnu Hazm dan lain-lain. Ulama yang mengambil pendapat ini berdalil dengan riwayat dari Abu Mas’ud Al Anshari radhiyallahu ‘anhu. Beliau mengatakan, “Sesungguhnya aku  tidak berqurban. Padahal aku adalah orang yang berkemampuan. Itu kulakukan kerana aku khuatir kalau tetanggaku mengira qurban itu adalah wajib bagiku.” (HR. Abdur Razzaq dan Baihaqi dengan sanad shahih). Demikian pula dikatakan oleh Abu Sarihah, “Aku melihat Abu Bakar dan Umar sementara mereka berdua tidak berqurban.” (HR. Abdur Razzaaq dan Baihaqi, sanadnya shahih) Ibnu Hazm berkata, “Tidak ada riwayat sahih dari seorang sahabat pun yang menyatakan bahwa qurban itu wajib.” (lihat Al Muhalla 5/295, dinukil dari Shahih Fiqih Sunnah II/367-368, dan Taudhihul Ahkaam, IV/454).
Dalil-dalil di atas merupakan dalil pokok yang digunakan masing-masing pendapat. Jika dijabarkan semuanya menunjukkan masing-masing pendapat sama kuat. Sebahagian ulama memberikan jalan keluar dari perselisihan dengan menasihatkan: “…selayaknya bagi mereka yang mampu, tidak meninggalkan berqurban. Kerana dengan berqurban akan lebih menenangkan hati dan melepaskan tanggungan, wallahu a’lam. (Tafsir Adwa’ul Bayan, 1120).

PEMBAHAGIAN IBADAH QURBAN
Terdapat dua jenis qurban iaitu qurban wajib dan qurban sunat.

Qurban Wajib /Qurban Nazar.
Contohnya apabila seseorang menyebut, “Kerana Allah wajib ke atasku berqurban seekor kambing atau seekor unta ini” ataupun dengan menyebut, “Aku jadikan kambing ini sebagai qurban” Sama sahaja hukumnya dalam hal sama ada yang menyebutnya itu seorang yang kaya ataupun seorang fakir.
Binatang yang dibelikan untuk tujuan qurban oleh seorang fakir. Apabila seorang fakir membeli seekor kambing dengan niat untuk diqurbankan, maka ia menjadi wajib. Ini kerana membeli dengan tujuan berqurban oleh seseorang yang tidak wajib melakukannya dikira wajib kerana perbuatan ini dikira sebagai satu nazar.

Qurban Sunat
 Qurban sunat ialah qurban yang dilakukan oleh seseorang yang berkemampuan melakukannya sama ada miskin ataupun yang bermusafir, yang tidak berniat nazar atau membeli dengan tujuan qurban.

SYARAT-SYARAT QURBAN
Syarat qurban dapat dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu:
1.       Syarat Wajib/Sunat Qurban.
2.       Syarat Sah Qurban.
3.       Syarat Mereka Yang Dituntut Berqurban.

1.  Syarat Wajib/Sunat Qurban
Ø  Untuk dijadikan ibadah qurban wajib ataupun sunat adalah disyaratkan dia mampu melaksanakannya.
Ø  Orang yang dianggap mampu ialah mereka yang mempunyai harga untuk binatang qurban yang lebih daripada keperluannya dan keperluan mereka yang di bawah tanggungannya untuk hari raya dan hari–hari tasyrik kerana inilah tempoh masa bagi melakukan qurban tersebut.
Ø  Kedudukannya sama seperti dalam masalah zakat fitrah, mereka mensyaratkan ia hendaklah merupakan yang lebih daripada keperluan seseorang juga keperluan mereka yang di bawah tanggungannya pada hari raya puasa dan juga malamnya sahaja.

2. Syarat Sah Qurban
Ø  Hendaklah binatang yang diqurbankan itu tidak mempunyai sebarang kecacatan yang menyebabkan kekurangan kuantiti dagingnya ataupun menyebabkan kemudharatan terhadap kesihatan. Contohnya cacat yang teruk pada salah satu matanya, berpenyakit yang teruk, tempang atau kurus yang melampau.
Ø  Hendaklah qurban itu dalam masa yang tertentu iaitu selepas sembahyang Hari Raya Haji pada 10 Zulhijjah hingga sebelum terbenam matahari pada akhir Hari Tasyrik iaitu pada 13 Zulhijjah.
Ø  Hendaklah disembelih oleh orang Islam.
Ø  Orang yang berkongsi mengorbankan unta atau lembu tidak lebih dari tujuh orang di mana masing–masing menyumbang 1/7 bahagian.

3. Syarat Mereka Yang Dituntut Berqurban
Ø  Islam.
Ø  Merdeka.
Ø  Aqil Baligh.
Ø  Bermukim atau Musafir.
Ø  Berkemampuan.

WAKTU PELAKSANAAN IBADAH QURBAN
Waktu bagi menyembelih qurban bermula setelah selesai sembahyang Hari Raya dan bacaan khutbahnya iaitu setelah naik matahari sekadar segalah. Masanya berterusan siang dan malam sehingga Hari Tasyrik yang akhir iaitu sebelum terbenam matahari pada hari tersebut. Ini berdasarkan hadis Nabi yang diriwayat oleh Al-Barra’ bin ‘Azib : “Perkara pertama yang kita mulakan pada hari ini ialah bersembahyang, kemudian kita balik dan melakukan penyembelihan qurban. Sesiapa yang melakukan demikian maka dia telah menepati sunnah kami. Sesiapa yang menyembelih sebelum itu, maka ia merupakan daging yang disediakan untuk ahli keluarganya. Ia tidak dikira sebagai ibadah qurban  sedikit pun.”


BINATANG QURBAN
 Perbincangan tentang binatang qurban ini meliputi empat perkara :
Ø  Jenis binatang yang diqurban.
Ø  Umur binatang qurban.
Ø  Kadar binatang yang disembelih.
Ø  Sifat–sifat binatang qurban.

1.  Jenis Binatang Yang Diqurban
Para ulama’ sependapat bahawa ibadah qurban tidak sah kecuali dengan menggunakan binatang an‘am, iaitu binatang jinak yang berkaki empat seperti unta, lembu dan kerbau, kambing biri–biri dan semua yang termasuk dalam jenisnya, sama ada jantan atau betina. Oleh itu, tidak sah berqurban dengan menggunakan binatang yang lain daripada binatang an‘am ini seperti kerbau liar dan kijang.
Firman Allah subhanahu wata‘ala:
{ وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكًا لِّيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَى مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ اْلأَنْعَمِ }
Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap satu umat, Kami syari‘atkan ibadah menyembelih qurban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka: binatang-binatang ternak yang disembelih itu.” (Surah Al-Hajj 22:34)
Tidak terdapat sebarang dalil sama ada yang dinaqalkan daripada Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam atau sahabat yang menunjukkan mereka berqurban dengan binatang selain daripada binatang-binatang ternakan (an‘am) ini. Oleh kerana qurban merupakan satu ibadah yang dikaitkan dengan binatang, maka ia hanya ditentukan kepada binatang an‘am sahaja sama seperti ibadah zakat.
Adapun binatang yang lebih afdhal diqurban ialah unta diikuti dengan lembu kemudian biri-biri atau kibasy kemudian kambing. Ini memandangkan kuantiti dagingnya yang lebih banyak bagi maksud pengagihan yang lebih meluas untuk fakir miskin.
Nabi sallallahu ‘alayhi wasallam juga telah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat dengan mandi junub, kemudian dia pergi (ke Jumaat) maka dia seolah-olah telah berqurban seekor unta. Sesiapa yang pergi pada saat kedua maka dia seolah-olahnya berqurban dengan seekor lembu. Sesiapa yang pergi pada saat ketiga maka dia seolah-olah berqurban dengan seekor kibasy yang bertanduk.”

2.  Umur Binatang Qurban
Umur binatang yang hendak diqurbankan berbeza-beza mengikut jenis binatang iaitu:
Ø  Unta disyaratkan telah berumur lima tahun dan masuk ke umur enam tahun.
Ø  Kambing dan lembu disyaratkan telah berumur dua tahun dan masuk ke umur tiga tahun.
Ø  Kibasy disyaratkan telah memasuki umur dua tahun.
Ø  Bagi anak unta, lembu, kambing dan kibasy yang telah berumur dua tahun lebih (yang telah bersalin gigi) harus dijadikan qurban.

3. Kadar Binatang Yang Disembelih
Ø  Para fuqaha’ bersepakat mengatakan bahawa seekor kambing atau kibasy hanya mencukupi sebagai qurban untuk seorang sahaja. Seekor unta atau lembu pula mencukupi untuk menjadi qurban bagi tujuh orang. Ini berdasarkan hadith Jabir: “Kami berqurban bersama Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam semasa di Hudaybiyah dengan seekor unta atau seekor lembu untuk tujuh orang.”
Ø  Dalam riwayat Muslim pula menyebut : “Kami keluar bersama Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam dan kami berniat Haji. Maka Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam telah memerintahkan kami supaya berkongsi mengurbankan seekor unta atau seekor lembu. Setiap tujuh orang berkongsi seekor unta.”



4. Sifat–Sifat Binatang Qurban
Sifat–sifat binatang qurban sama ada betina atau jantan yang digariskan oleh syara‘ adalah seperti berikut:
Ø  Terang penglihatannya iaitu tidak buta.
Ø  Tidak cacat seperti kudung kaki, putus ekornya, terpotong hidungnya atau sebagainya.
Ø  Gemuk, tidak harus pada binatang yang terlalu kurus.
Ø  Ciri-ciri yang afdhal terdapat pada binatang qurban itu:
Ø  Gemuk pada keseluruhan anggotanya.
Ø  Bertanduk.
Ø  Putih warna bulunya (pada kibasy).
Ø  Jantan.
Ø  Sifat yang makruh pada binatang qurban:
Ø  Rabit telinganya.
Ø  Terpotong sedikit bahagian belakang atau depan telinganya.
Ø  Tidak mempunyai tanduk sejak asalnya.
Ø  Patah tanduk sebelah atau keduanya atau pecah bahagian tanduknya.
Ø  Tanggal sebahagian giginya disebabkan tua atau jatuh.
Ø  Kabur penglihatannya.

PERKARA SUNAT KETIKA BERQURBAN
Ø  Sunat menambat binatang yang hendak diqurbankan itu beberapa hari sebelum disembelih.
Ø  Digantung tanda pada binatang yang hendak diqurbankan.
Ø  Dibawa dengan baik dan ihsan ketika ke tempat penyembelihan.
Ø  Disunatkan juga orang yang berqurban menyembelihnya.
Ø  Sunat dihadapkan ke arah qiblat ketika menyembelih qurban.
Ø  Sunat memilih binatang yang paling gemuk, terelok dan terbesar untuk dijadikan qurban.
Ø  Sunat digunakan alat yang paling tajam dan diperbuat daripada besi.
Ø  Setelah selesai disembelih maka sunat ditunggu sehingga binatang yang disembelih itu sejuk dan semua anggota tidak bergerak lagi.
Ø  Sunat bagi mereka yang mahu melakukan qurban tidak bercukur dan tidak memotong kukunya setelah tiba bulan Zulhijjah sehingga telah selesai berqurban.
Ø  Binatang qurban sunat dibaringkan di atas rusuk kiri sebelum dilakukan penyembelihan.
Ø  Sunat ketika sembelihan qurban dilakukan adalah seperti berikut:
Ø  Membaca basmalah.
Ø  Bersalawat ke atas Nabi Muhammad.
Ø  Binatang diarahkan ke arah qiblat.
Ø  Bertakbir sebelum atau selepas membaca basmalah.
Ø  Berdoa.
Ø  Orang yang berqurban hendaklah membaca doa seperti berikut : “Ya Allah, ini adalah nikmat yang datang dariMu dan dengannya aku mohon untuk dapat mendampingiMu.”
Ø  Sunat wakil yang melakukan sembelihan menyebutkan orang yang mewakilkannya seperti: “Dengan nama Allah dan Engkau Yang Maha Besar, ini daripadaMu dan untukMu. Terimalah Ya Allah daripada si pulan, si pulan.....”


PERKARA MAKRUH KETIKA BERQURBAN
Ø  Berlaku kasar kepada binatang yang hendak diqurbankan seperti mengheret atau memukul semasa membawa ke tempat sembelihan atau seumpamanya.
Ø  Memerah susu atau menggunting bulu atau mengambil sebarang faedah dari binatang yang hendak dijadikan qurban.
Ø  Tidak menghadapkan ke arah qiblat semasa sembelihan dilakukan
Bercukur atau memotong kuku setelah tiba bulan Zulhijjah hingga penyembelihan qurban selesai dijalankan.
Ø  Binatang yang telah dibeli untuk tujuan qurban adalah makruh dijual kerana ia telah ditentukan untuk qurban.

HUKUM DAGING QURBAN
Qurban yang wajib iaitu yang dinazarkan ataupun yang ditentukan sama ada dengan menyebut, “Ini adalah qurban”, maka orang yang berqurban tidak boleh memakannya. Dia wajib menyedekahkan semuanya sekali.
Anak kepada binatang qurban yang ditentukan juga, perlu disembelih seperti ibunya, tetapi bezanya ia boleh dimakan kesemuanya oleh tuan yang mengurbankannya kerana disamakan dengan hukum susu, kerana tuannya harus meminum susu binatang qurban yang selebih daripada anaknya walaupun perbuatan itu makruh.
Bagi qurban sunat, maka tuannya sunat memakannya, iaitu yang afdhalnya dia hendaklah memakannya beberapa suap sebagai mengambil berkat. Ini bersesuaian  dengan firman Allah subhanahu wata‘ala:

Maksudnya : "Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka Dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); Dengan Yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin. (Surah Al-Hajj ayat 28)

Hadith yang diriwayatkan oleh Al-Bayhaqi pula ada menyebut bahawa Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam telah memakan sebahagian daripada hati binatang qurbannya. Hukum memakan daging qurban pula tidak wajib, ini berdasarkan firman Allah subhanahu wata‘ala:
Maksudnya : “Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syi’ar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian Yang lain) kepada orang-orang Yang tidak meminta dan Yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan Dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.  (Surah Al-Hajj, 22:36)


Dalam ayat ini Allah menjelaskan bahawa ia dijadikan untuk kita. Setiap perkara yang dijadikan untuk manusia, maka dia diberi pilihan sama ada mahu memakannya atau tidak. Orang yang berqurban juga boleh menjamu kepada kalangan yang kaya, tetapi tidak boleh diberi milik kepada mereka. Yang boleh cuma dihantar kepada mereka sebagai hadiah yang mana mereka tidak akan menjualnya atau sebagainya. Mengikut pendapat dalam qawl jadid, orang yang berqurban boleh memakan sebahagian daripada qurbannya. Mengikut qawl qadim pula harus memakan sebanyak separuh, manakala bakinya hendaklah disedekahkan.

Sebahagian ulama’ berpendapat daging qurban dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu 1/3 daging disedekahkan dalam keadaan mentah, 1/3 daging dimasak dan dibuat jamuan dan 1/3 daging dimakan oleh orang yang berqurban.

Pendapat yang asah pula, adalah wajib bersedekah dengan sebahagian daripada daging qurban walaupun sedikit kepada orang Islam yang fakir walaupun seorang. Walaubagaimanapun, yang lebih afdhal hendaklah disedekahkan kesemuanya kecuali memakannya beberapa suap untuk mengambil keberkatan seperti yang telah dijelaskan.
Bagi qurban sunat pula, orang yang berqurban boleh sama ada bersedekah dengan kulit binatang tersebut atau menggunakan sendiri, seperti mana dia harus mengambil faedah daripada binatang itu semasa hidupnya. Tetapi bersedekah adalah lebih afdhal. Bagi qurban yang wajib  pula, kulit binatang itu wajib disedekahkan.
Qurban juga tidak harus dibawa keluar dari negeri asalnya sebagaimana yang ditetapkan dalam masalah membawa keluar zakat.

Larangan mengupah tukang sembelih dengan bahagian haiwan sembelihan
Dari Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anhu bahawa “Beliau pernah diperintahkan Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam untuk menguruskan penyembelihan untanya dan agar membahagikan seluruh bahagian dari sembelihan unta tersebut, baik yang berupa daging, kulit tubuh maupun pelana. Dan dia tidak boleh memberikannya kepada tukang sembelih barang sedikitpun.” (HR. Bukhari dan Muslim) dan dalam lafaz lainnya beliau berkata, “Kami mengupahnya dari wang kami peribadi.” (HR. Muslim). Dan ini merupakan pendapat majoriti ulama (lihat Shahih Fiqih Sunnah, II/379).
Syeikh Abdullah Al Bassaam mengatakan, “Tukang sembelih tidak boleh diberi daging atau kulitnya sebagai bentuk upah atas pekerjaannya. Hal ini berdasarkan kesepakatan para ulama. Perkara yang diperbolehkan adalah memberikannya sebagai bentuk hadiah jika dia termasuk orang kaya atau sebagai sedekah jika ternyata dia adalah miskin…” (Taudhihul Ahkaam, IV/464). Pernyataan beliau semakna dengan pernyataan Ibn Qosim yang mengatakan: “Haram menjadikan bahagian haiwan qurban sebagai upah bagi tukang sembelih.” Pendapat beliau ini dikomen oleh Al Baijuri: “Kerana hal itu (mengupah tukang sembelih) semakna dengan jual beli. Namun jika tukang sembelih diberi bahagian dari qurban dengan status sedekah bukan upah maka tidak haram.” (Hasyiyah Al Baijuri As Syafi’i 2/311).
Adapun bagi orang yang memperoleh hadiah atau sedekah daging qurban diperbolehkan memanfaatkannya sekehendaknya, bisa dimakan, dijual atau yang lainnya. Akan tetapi tidak diperkenankan menjualnya kembali kepada orang yang memberi hadiah atau sedekah kepadanya (Tata Cara Qurban Tuntunan Nabi, 69)

PENUTUP
Akhirulkalam, sekali lagi syukur alhamdulilah berkat limpah rahmat dan rahim Allah juga, kemungkinan kita boleh meraikan Aidiladha tahun ini dengan mengorbankan 4 ekor lembu yang dikongsi bersama para guru dan ibu bapa. Seterusnya daging korban dapat diagihkan kepada warga kampung Terasi dan sekitarnya supaya dapat merasai nikmat keimanan serta penghayatan Aidiladha. Firman Allah:
  
Maksudnya: “ Dan bacakanlah (Wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) Yang berlaku Dengan sebenarnya, Iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari Yang lain (Qabil). berkata (Qabil):" Sesungguhnya Aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang Yang bertaqwa;”        (Surah al-Maidah, ayat 27)

Bertitik tolak dari itu maka setiap umat Islam mestilah mengagungkan dan membesarkan hari perayaan agama mengikut konsep yang sebenarnya. Kita perlu mengetahui tujuan sebenar atau cerita di sebalik sambutan hari raya supaya mendapat rahmat daripada Allah.


"Renung-renungkanlah dan selamat beramalllllll"

Saturday 8 October 2011

MODAL INSAN

MODAL INSAN

............................
matanya berkaca memancar sejuta harapan
bukan sekadar pelengkap atau hanya sisipan
ada keistimewaan dan kecenderuangan
yang perlu kita galikan
Ayuh,
lapangkan fikiran dan tajamkan kemahiran
ianya seorang dari sejuta modal insan
yang memimpin masa depan

  

Thursday 6 October 2011

SALAM PERKENALAN

Assalamualaikum, Salam Sejahtera, Salam Perpaduan, Salam Perkenalan dan Salam 1 Malaysia diucapkan kepada para pengunjung maya yang budiman.

Selamat Datang ke Blog SK Terasi yang baru menapak dalam dunia blogger ini. Tentu anda sudah menduga bahawa blog ini dihasilkan oleh blogger yang baru setahun jagung menyusun kata dan mencalit warna dalam dunia penulisan blog. Namun begitu, diandai katakan sudah besar muara Sungai Sadong maka lebih besar lagi harapan di pundak rasa untuk berkongsi tentang rempah ratus asam garam pahit maung kehidupan dunia pendidikan

Maka diringkaskan kata, keberadaan laman blog ini di dunia maya adalah merupakan wasilah yang menjadi tali penghubung di antara kita biarpun cuma kata-kata tanpa suara. Tidak mengapa.Insya Allah semuanya akan mampu dimengertikan. Yang pasti hati sentiasa berbunga basah mendambakan perkongsian ilmu percambahan minda dari pengunjung semua.

Tidak ada hakcipta terpelihara untuk ilmu yang datangnya dari maha Esa.  Bahkan kita dituntut untuk menyebarkan apa yang kita tahu. Maka sebarkanlah apa saja yang anda fikirkan perlu disebarkan. Tidak perlu link kembali atau minta izin.  Apa yang anda baca di sini hanyalah maklumat. Ianya akan menjadi ilmu yang manfaat apabila diamalkan. Dan jika kita sampaikan ilmu yang kita ada kepada orang lain, maka Allah akan menganugerahkan kepada kita ilmu yang belum kita tahu.

Hanya jutaan terima kasih mampu diucapkan sebagai gambaran berbesar hati kerana kesudian kalian mampir ke blog yang serba ringkas ini. Sudi juga kiranya kalau dapat, meninggalkan sepatah dua kata untuk pedoman di hari muka